Wednesday, April 18, 2012

KALAH.

Bukan aku takut kalah tapi aku takut menyerah.
Bukan aku lemah walau beribu kali kalah.
Kalah bukan lemah.
Kalah bukan rebah.
Kalah buat kita tabah bukan pasrah.
Yang aku takut kalah menjadi khalifah.

Biar jatuh seketika jangan lama.
Kalau jatuh lagi berdiri kembali sekali lagi.

Monday, April 9, 2012

RASA ITU.

Mata pena maya bagai hilang tintanya biar sang penulis punya idea untuk terus berkarya. Ingin dicoret setiap cerita yang berlegar dimetafora minda tapi tak terdaya. Kasihan laman maya dibiarkan terus menyepi.

Sang scouse pula terusan gelisah. Hilang sengat hilang taring hilang segalanya. Plot yang dicipta gagal diterjemah sebaiknya. Bijak menyusun kata tapi gagap berbicara. Satu demi satu terlepas begitu saja. Lantas rasa itu berputik semula.

Sedih

Kecewa

Duka

Pilu

Hiba

Semua rasa itu bergaul mesra jadi ramuan yang menyesak dada. Rencah rasa yang sentiasa melanda. Biarkan saja rasa itu. Memang begitu lumrah dunia.

Monday, March 12, 2012

KOTAK HATI.

Sekali lagi aku biarkan laman ini. Terus sepi. Terus sunyi. Terlalu banyak yang ingin dikongsi. Tapi hilang dalam kotak hati. Kotak hati yang dicuri lalu aku biarkan pergi.

Jejari dan hati tak senada. Gagal menterjemah apa yang dirasa dalam bentuk kata-kata yang sedia.

KOTAK HATI DICURI BIDADARI ?!

Mungkin itu punca jejari dan hati gagal berkolaborasi. Mungkin juga. Ermm, sangat memungkinkan. Teruskan berteka-teki. Jawapan hakiki aku yang mengerti.

Tapi kotak hati itu dicuri dan diisi. Tidak sunyi atau sepi macam laman ini yang dibiarkan sendiri. Dilawati tapi tidak diperbaharui.

Sunyi sepi sendiri aku tak pernah peduli kerana DIA sentiasa di sisi :D

Monday, February 27, 2012

ALASAN BOSAN.

Buat itu alasan. Buat ini alasan. Perlukah sebuah alasan ? Persoalan yang semacam tiada jawapan. Manusia terlalu terikat dengan alasan. Tak pernah aku fahami jauh sekali mengerti.

Aku bosan.
Aku muak.
Aku jemu.
Aku jelak.
Aku benci.

Mereka yang sentiasa memberikan alasan atas kesilapan. Apalah salah kiranya mengaku kesalahan. Kita belajar daripada kesilapan. Daripada kesilapan kita bangkit tuju kejayaan.

Aku semakin benci mereka yang menghidangkan 1001 alasan dalam beribadah. Alasan yang langsung tak munasabah dek akal. Terlalu banyak untuk aku senaraikan. Aku sedar aku juga hamba yang tak lepas daripada kesilapan. Tapi tak salah kiranya saling mengingatkan.

Kadang-kadang aku bingitkan telinga daripada mendengar alasan bosan mereka. Biarkan mereka kerana susah untuk buat mereka percaya asalkan mereka bahagia.